Bubarkan party Bersatu. In Shaa Allah.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/16/pn-terkubur-selepas-pru15-ramal-isham/


PN terkubur selepas PRU15, ramal Isham

Robin Augustin -October 16, 2022 7:00 AM


PETALING JAYA: Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan berdepan banyak masalah selepas pilihan raya umum sehingga membawa kepada pembubaran gabungan itu.

“PN ini yang lompat parti ini banyak lompat parti daripada Umno pun ada, daripada PH (Pakatan Harapan) pun ada jadi dalam itu mereka akan menjadi masalah…mereka bergantung pada PAS sahaja,” kata Isham Jalil.

“Jadi, kalau Bersatu kalah banyak kerusi kali ini dan PAS pun akan lihat kita bawa ‘pengkhianat’ ini rakyat pulak terpalit, jadi lepas PRU (pilihan raya umum) nanti PAS pula akan leraikan gabungan PN itu,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Isham berkata, PAS sudah mengalami kekalahan pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor bersama PN dan beliau yakin kekalahan pada PRU15 mungkin menyaksikan parti itu meninggalkan rakan sekutu gabungan, Bersatu.

Katanya, sekiranya ia berlaku, Bersatu juga mungkin akan ‘terlerai’ seperti mana yang berlaku pada parti serpihan Umno, Semangat 46, yang dibubarkan pada 1996 dengan pimpinan seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Rais Yatim kembali menyertai Umno.

“Bukanlah saya nak merendah-rendahkan pilihan mereka, tetapi berdasarkan trend yang sedia ada saya tak rasa rakyat akan mengundi pelompat parti.”

Isham berkata, tidak mustahil selepas Bersatu terlerai, Umno akan membenarkan kembali mereka dari Bersatu masuk ke parti semula. “Mungkin mereka sedar sikit bahawa mereka kena bubarkan parti serpihan mereka (untuk) masuk balik.”

“Kalau mereka tak suka sangat Umno, mereka boleh la masuk PAS,” katanya ketika ditanya percaturan Umno menyatupadukan sokongan Melayu, selepas PRU15.

Isham berkata, Umno berhasrat kepada “penyatuan ummah” dan mereka berjaya mencapainya menerusi pembentukan Muafakat Nasional (MN), perjanjian yang termeterai bersama PAS, kesan daripada keputusan PRU14.

“Kurang daripada setahun, PAS telah menyertai PN dengan Bersatu pulak dan ini mendatangkan masalah sebab akar umbi kita tak boleh terima pengkhianat (Bersatu).”

“Mereka (akar umbi) tak boleh terima sebab ini pengkhianat kita, seumpama juga macam PAS kalau kita tanya PAS adakah mereka terima Amanah…dia (PAS) tak boleh terima.”

Sebelum ini, Umno berkata, parti itu terbuka menjalin kerjasama bersama PAS dengan syarat memutuskan hubungan dengan Bersatu, yang mana parti berkenaan enggan melakukannya.

Isham berkata, terlalu banyak parti Melayu dan langkah terbaik demi menyatupadukan masyarakat Melayu adalah membubarkan parti kecil mewakili orang Melayu dan menyertai Umno atau PAS.